Wednesday, April 16, 2008

Kisah aksi ranjang Ella dan Jojie


Tak habis-habis dengan isu super impose. Kali ini dikatakan pula Ella dan kakaknya - Jojie disoal siasat oleh polis ekoran pendedahan email yang mengatakan mereka melakukan adegan ranjang dengan pasangan masing-masing di atas sebuah kapal mewah. Jojie juga sudah membuat laporan polis berhubung dakwaan penyebaran gambar tersebut. Menurut Jojie lagi, ini adalah salah satu perbuatan jahat yang ingin menjatuhkan maruah dia dan adiknya; Ella.
Dari tinjauan yang kami buat, ramai yang mengharapkan Ella dan Jojie cepat-cepat kawin bagi mengatasi masalah ini. Biasa la orang.. kalau isu pasal perempuan berumur sikit memang panas!

Tuesday, April 15, 2008

Mawi Kurang Menyerlah!



KALAU diukur dari segi populariti, tidak dinafikan penyanyi kelahiran selatan tanah air, Asmawi Ani atau Mawi masih lagi hebat dan belum mampu digugat sesiapa. Jika tidak, masakan kategori Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian kekal di dalam genggamannya untuk tiga kali berturut-turut.

Namun apakah cukup sekadar populariti yang dapat dipertahankan sedangkan tahap kredibiliti sebagai seorang artis masih lagi jauh ketinggalan. Persoalan ini timbul apabila menyaksikan persembahan Mawi sewaktu Bintang Paling Popular itu mengadakan persembahan sempena Minggu Setiausaha anjuran PNB Darby Park, yang berlangsung di Dewan Perdana Felda, baru-baru ini.

Entah mengapa sepanjang sejam menonton penyanyi ini beraksi di atas pentas, bagaikan ada sesuatu yang tak kena dengan persembahan Mawi. Apa yang boleh dikatakan, persembahan jejaka dari Felda Taib Andak, Kulai ini tidak menggambarkan kualiti sebuah persembahan Minggu Setiausaha dalam erti kata yang sebenarnya.

Jika suatu ketika dulu, persembahan seperti ini amat ditunggu-tunggu kerana hanya artis yang terbaik saja yang akan ditampilkan, tapi sejak kebelakangan ini, sesiapa saja boleh mengendalikan minggu setiausaha.

Berbalik kepada kisah Mawi tadi, bukanlah bermakna persembahan yang ditampilkan lelaki ini tidak menghiburkan cuma apa yang ditonjolkannya adalah di tahap ‘biasa-biasa’ saja.

Ini berbeza dengan apa yang ditampilkan oleh pasangannya iaitu pelakon dan pengacara terkenal, AC Mizal yang boleh dikatakan jauh lebih baik daripada Mawi. Mungkin ada yang mengatakan pengalaman membezakan mereka berdua namun kalau kita bersedia dan merancang dengan teliti apa yang hendak dilakukan, tidak mustahil ia mampu menghasilkan sebuah pertunjukan yang hebat.


MEMUKAU: Aksi hebat AC Mizal ketika menghiburkan tetamu.

Secara jujur, AC dilihat lebih mampu menghidupkan suasana apabila tampil dengan idea menarik seperti membawa kumpulan brass band dari Victoria Institution untuk mengiringinya menyampaikan lagu I Feel Good untuk acara pembukaan. Nampak begitu meriah dan kebanyakan tetamu yang hadir terhibur dengan gaya persembahan ala festival itu.

Begitu juga apabila tiba bab berkomunikasi, ada ketika Mawi nampak begitu teragak-agak sehingga memaksanya mengulang cerita yang sama iaitu kisah albumnya yang menjadi mangsa cetak rompak, yang pernah diceritakan dalam persembahannya sebelum ini.

Begitu juga dengan pemilihan lagu, AC ternyata lebih bijak dan kreatif apabila menyelitkan lagu dari pelbagai jenis bahasa sedangkan Mawi hanya menyanyikan lagu Melayu walaupun ada peminat di bawah pentas menjerit-jerit memintanya menyanyikan lagu Inggeris.

Mengulas perkara ini pada sidang media kemudiannya, Mawi berkata dia mempunyai alasan tersendiri untuk tidak menyanyikan lagu dalam bahasa Inggeris.

“Persembahan ini boleh dikatakan sebagai peluang saya mempromosikan lagu dari album terdahulu. Lagipun yang mendengarnya adalah orang Melayu, jadi semangat kemelayuan pun kuat.

“AC pun ada nyanyikan lagu Inggeris sebelum saya muncul. Jadi itu sudah menjadi satu kombinasi yang seimbang. Tadi pun saya ada nyanyi dua baris lagu Inggeris, kira okeylah tu...,” balas Mawi berseloroh.

Seperkara yang agak menghairankan mengenai persembahan Mawi adalah kali ini dia tidak menampilkan acara silap mata seperti yang sering dilakukannya sebelum ini.

“Mengenai perkara itu, memang saya terkilan kerana tak berkesempatan nak buat. Bukannya apa, masalah masa membuatkan banyak perancangan saya tergendala. Bukan itu saja, malah perancangan awal saya untuk berduet dengan AC juga tidak terlaksana kerana kesibukan,” ujar Mawi.

Perkara itu turut dipersetujui AC yang turut terkilan kerana tidak dapat membuat persembahan bersama si pelantun Aduh Saliha itu.

“Mengikut perancangan awal, saya dan Mawi akan membuat persembahan gabungan silap mata dan komedi. Tapi semuanya tak jadi kerana faktor masa,” tambah pengacara AF6 ini.

Bagaimanapun, seperkara yang tidak dapat dinafikan mengenai buah hati pengarang jantung pelakon Ikin ini adalah aura yang dimilikinya masih tetap utuh. Pantang turun ke pentas, ada saja peminat yang ingin merakamkan gambar bersamanya.

Malah, nyanyiannya sewaktu mendendangkan lagu Kian beberapa kali terganggu kerana begitu asyik melayan kerenah peminat yang begitu teruja apabila berpeluang bertentang mata dengannya.

Pencerapan Bulan, Marikh dan Zuhal

Pihak Planetarium Negara akan menganjurkan Program Pencerapan Bulan, Marikh & Zuhal yang akan diadakan pada:

Tarikh : 18 April 2008

Masa : 8:00 pm – 10:00 pm

Tempat : Perkarangan Tangga Planetarium Negara

Untuk keterangan lanjut;

Cik Lau Chen Chen
Planetarium Negara,
53 Jalan Perdana, Kuala Lumpur
Tel: 03-2273 5484
Fax: 03-22735488

Waheeda Dah Nikah?

Ustaz Akhil Hayy & Waheeda

Baru-baru ini kecoh lagi sekali meja Team Manggaonline dengan berita pasal pernikahan penyanyi, pelakon dan pengacara yang jelita dan bertudung litup, Waheeda dengan seorang selebriti bergelar ustaz, Akhil Hayy.

Yang menjadi kecohnya sebab ustaz yang dikatakan tu masih memiliki seorang isteri dan anak-anak. Tetapi digosipkan mempunyai hubungan istimewa dengan Waheeda yang dikenali sebagai Wawa sejak sama-sama terlibat dalam satu program terbitan Astro.

Wawa pula memberi penjelasan bahawa itu semua adalah gosip biasa dan hanya satu cerita lama yang dibangkitkan semula serta asam garam dunia artis dan harus ditempuhinya.

Dalam satu kenyataan media, ibu Wawa menerangkan bahawa beliau tidak menolak jika andai jodoh Waheeda dengan seorang ustaz.

“Terus terang saya katakan, saya tidak tolak jika ditakdirkan jodoh Wawa dengan seorang ustaz. Siapa yang tak mahu bermenantukan seorang yang alim dan pandai bab-bab agama? Tapi biarlah ustaz itu yang belum bernikah dan tak ada anak bini,” Kata ibu kepada artis kecil molek ini.

Sebelum ini, Wawa pernah digosipkan bercinta dengan seorang penyanyi daripada sebuah kumpulan nasyid yang agak dikenali ramai. Yang mana satu pilihan Wawa samada yang bujang atau sudah berkeluarga? Atau benarkah Wawa dah nikah dengan seseorang?

Monday, April 14, 2008

Faizal Tersungkur Akhirnya

Peminat Akademi Fantasia sekarang sudah bijak mengundi peserta yang hanya berbakat. Kira mereka tak sokong melululah, sebab itulah seorang demi seorang peserta yang sering dapat ktritikan kerana gagal menampilkan persembahan yang diharapkan terkeluar. Terbaru giliran Faisal pula.

Tiada kejutan apabila Faisal jadi peserta kelima seret beg kerana nyanyiannya tidak menunjukkan peningkatan. Pada awalnya banyak juga sokongan Faisal dapat kerana kecenderungannya menyanyikan lagu berunsur nasyid. Tapi apabila vokal tak menyerlah, peminat juga tak gatal tangan nak mengundi.

Faisal tersingkir kerana kurang menyerlah.

Akhirnya terpaksalah Faisal akur dengan keputusan peminat. Banyak lagi peserta yang hanya dapat kritikan sahaja. Tunggulah mereka pula mengikut jejak rakan-rakan lain pada minggu-minggu akan datang. Hanya Riz, Stacy, Rina, Alif yang sering dipuji oleh pengkritik iaitu Fauziah Ahmad Daud, Ning Baizura dan Adlin Aman Ramli.

Mawi akui Ikin tidak cemburu buta, keluarga akur pilihan hatinya

SEKIAN lama berteka-teki mengenai kisah cinta, Raja SMS, Mawi, akhirnya membuat pengakuan terbuka kepada media dengan mengumumkan pelakon drama dan model, Nora'asikin Rahmat atau Ikin, 29, adalah teman istimewanya. Pengumuman itu dibuat hanya beberapa jam sebelum malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007 di Genting Highlands, 30 Mac lalu.

Dalam pertemuan bersama Mawi baru-baru ini, dia turut membuat pengakuan, mula mengenali Ikin secara rapat kira-kira setahun lalu, tapi kenapa baru-baru ini saja dia bersedia membuat pengakuan dan mengapa Ikin menjadi pilihan hatinya?

“Bagi saya, sesuatu yang belum pasti tidak perlulah digembar-gemburkan sedari awal, maka saya lebih gemar berdiam diri. Sebelum ini, saya mengenali Ikin sama seperti rakan artis lain, tiada apa-apa perasaan terhadapnya. Namun, siapa sangka, selepas beberapa lama menjalin persahabatan, barulah timbul perasaan sayang kepadanya.



“Namun, saya tidak terburu-buru membuat pengumuman kerana tiada apa yang pasti ketika itu. Sehinggalah tiba ABPBH 2007 30 Mac lalu, saya dan Ikin kebetulan berada pada majlis sama, barulah saya terdetik membuat pengakuan kerana bagi saya, inilah masa sesuai, tambahan pula pihak media seperti sudah menghidu sesuatu.

“Pun begitu, terus-terang saya katakan, sebelum membuat pengakuan itu, saya tidak menerima sebarang tekanan daripada mana-mana pihak, sebaliknya ia lahir dari hati yang tulus ikhlas. Saya sudah bersedia. Bagi saya, Ikin ada keistimewaan, orangnya kelakar, selamba, memahami kerjaya saya dan yang penting dia tidak cemburu buta,” terang Mawi.

Tiba-tiba soalan ini terus mencelah - sejauh mana kesahihannya, Ikin adalah punca Mawi putus tunang dengan Nor Diana Mohd Naim suatu ketika dulu?

Sejurus mendengar pertanyaan itu, nada suara Mawi berubah menjadi serius.

Usah ungkit kisah lama

“JANGANLAH diungkit kisah lama. Ikin tidak ada kena mengena dalam soal itu (putus tunang). Tidak perlulah dibongkar cerita silam kerana semuanya sudah selesai. Lagipun dia (Diana) sudah berkahwin dan tidak lama lagi akan menimang cahaya mata, tolonglah hormati perasaannya, suami, hati saya, Ikin dan keluarga masing-masing,” pinta Mawi berkali-kali.

Adakah pilihan Mawi, Ikin mendapat restu daripada keluarga, lebih-lebih lagi daripada ibunya?

“Mungkin ramai yang belum tahu, ibu saya tidak tahu menahu dalam soal ini. Perkara ini membabitkan hati dan perasaan saya, bukan orang lain. Bagi saya, apabila saya senang dan selesa bersama Ikin, keluarga dan ibu hanya menuruti saja pilihan saya. Mereka tiada masalah kerana saya yang bertanggung jawab. Yang penting, restu.

“Saya harap, selepas pengakuan ini, janganlah kehidupan ibu saya di kampung diganggu dengan 1,001 pertanyaan. Tidak perlu berpusu-pusu bertanya kepadanya, lagipun dia tidak sihat. Jika ada sebarang pertanyaan berhubung saya dan Ikin, terus datang bertemu saya. Tapi, rasanya saya sudah terangkan segala-galanya,” ujar Mawi.

Dijangka nikah Disember 2008

MENGENAI desas-desus tarikh perkahwinan Mawi-Ikin apabila mereka dikatakan akan bernikah November atau Disember ini?

“Berkali-kali sudah saya jelaskan, memang ada perancangan ke arah itu (perkahwinan), tapi belum ada sebarang tarikh sesuai. Cepat atau lambat jodoh saya bersama Ikin adalah ketentuan Tuhan. Sekiranya November atau Disember ini menjadi detik bersejarah kami, Alhamdulillah, tapi jika sebaliknya, saya hanya berserah kepada qada dan qadar Allah,” jelas Mawi tenang saja.

Mengulas mengenai jumlah undian Mawi sebagai Bintang Paling Popular, ABPBH 2007 yang terus merosot sebagai petanda popularitinya semakin pudar gara-gara pelbagai kontroversi yang pernah tercetus sebelum ini, ditambah cerita cintanya, apa pula komen Mawi?

“Terpulanglah kepada penerimaan peminat, yang penting hasil kerja dan produk yang dihasilkan, bukannya semata-mata dinilai kepada kisah peribadi. Tidak dinafikan, jika terpalit sebarang cerita negatif, peminat mudah terpengaruh. Justeru, selagi boleh, saya tidak mahu lagi dikaitkan dengan isu sensasi dan kontroversi di masa depan.

“Ditakdirkan populariti terus merudum sekiranya saya berkahwin suatu hari nanti, saya berserah kepada rezeki. Lagipun, perkara (perkahwinan) itu belum menjadi kenyataan, saya tidak mampu meramal masa depan. Tapi, harapan saya, karier hari ini akan terus diterima peminat walau apapun status diri, Insya-Allah,” kata Mawi.

Tini merancakkan Prelude Kemuncak AIM15

SEBELUM ini wajah comelnya sering menghiasi kaca televisyen menerusi program berkonsepkan majalah, 3R. Tidak berseorangan sebaliknya si pemilik nama penuh Kartini Kamalul Ariffin ini ditemani dua sahabat setianya, Rafidah dan Selina.

Bersama 3R, Kartini atau lebih mesra di sapa Tini lebih banyak membicarakan hal berkaitan golongan remaja khususnya wanita. Semuanya bercorak ilmu pengetahuan yang boleh dikongsi bersama dengan penonton.

Namun untuk tugasannya yang terbaru, Tini diberi mandat untuk mengacarakan program bercorak hiburan iaitu Prelude Kemuncak AIM15 yang disiarkan secara langsung setiap Khamis, jam 8.30 malam menerusi saluran ntv7.

Ini bermakna, Tini perlu mengendalikan sebuah rancangan bercorak hiburan dan menemubual secara langsung artis yang diundang membuat persembahan di pusat hiburan terbabit berbeza dengan apa yang dilakukannya sebelum ini.

“Tugasan ini memang mencabar buat Tini kerana boleh dikatakan ini adalah pengalaman baru Tini mengendalikan sebuah program hiburan secara total. Biarpun sebelum ini Tini pernah mengacarakan program bercorak hiburan namun konsepnya agak berbeza.

“Untuk Prelude Kemuncak AIM15, Tini perlu bersedia dari banyak segi. Umpamanya Tini perlu memastikan fokus Tini hanya pada kamera dan tidak menghiraukan gangguan lain.

“Pernah seketika apabila Tini sedang mengacarakan program ini, tiba-tiba ada sekumpulan lelaki memasuki pusat hiburan terbabit. Secara automatik, Tini berpaling ke arah mereka. Jadi benda-benda di luar kawalan seperti ini yang perlu Tini jaga supaya tidak menjejaskan tumpuan,” ujar pemegang ijazah Sarjana Kewartawanan Penyiaran Goldsmiths University of London ini.


Tambahnya lagi, memandangkan program ini disiarkan secara langsung jadi dia perlu menjalani ‘dry run’ terlebih dulu bagi memastikan tidak berlaku kesilapan sepanjang bersiaran dan mampu ditamatkan tepat pada waktunya.

“Selain bertanyakan banyak soalan sewaktu dry run, saya juga perlu berfikir pantas dan sentiasa bersedia kerana kita tidak tahu apa yang terjadi seterusnya.

Berkongsi pengalaman selepas hampir tujuh minggu mengendalikan program ini secara langsung, Tini berkata selain diberi pendedahan mengenai teknik di sebalik tabir, Tini juga gembira kerana tugasan itulah yang memberikannya peluang menemubual idola kesayangannya.

“Masa mula-mula terima tawaran ini, apa yang bermain di fikiran adalah untuk mendapatkan seberapa banyak pendedahan selain menimba ilmu dalam bidang ini. Namun, semakin lama saya rasa semakin seronok apatah lagi saya berpeluang menemuramah artis yang saya minati seperti kumpulan Lefthanded,” cerita penyampai radio Hot FM ini dalam nada teruja.

Sungguhpun mempunyai minat yang mendalam namun Tini realistik apabila membicarakan soal masa depan. Percaya bahawa bidang penyiaran yang diceburinya ada pasang dan surutnya, Tini melahirkan hasrat untuk menceburi pendidikan sekiranya khidmatnya nanti tidak diperlukan lagi.

“Apabila saya mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran dua tahun lalu, inilah sebenarnya impian saya iaitu untuk bergelar pensyarah. Lagipun, umur saya semakin hari semakin meningkat. Takkan selamanya saya dalam bidang ini.

“Tunggulah nanti, saya sedang berusaha ke arah itu secara perlahan-lahan. Bagaimanapun, ia bukanlah dalam masa terdekat kerana masih banyak lagi yang perlu saya pelajari,” jelas Tini yang bercita-cita untuk menjadi wartawan politik ini.

Hatinya sudah dimiliki

DALAM diam sudah lebih setahun Tini menjalinkan hubungan dengan seseorang yang turut bergiat dalam industri yang sama. Sambil mengakui hubungan mereka mendapat restu orang tua, Tini berkata hubungan jarak jauh yang dilaluinya sepanjang dia menuntut ilmu di London menguji kesetiaan mereka berdua.

“Alhamdulillah, hubungan kami berjalan dengan lancar. Walaupun kami berjauhan namun Tini lihat dia begitu setia menunggu Tini. Malah, kami juga kerap berhubungan menerusi telefon dan juga internet. Kami ada keserasian. Kalau ada jodoh, dialah orang yang akan Tini pilih sebagai calon suami,” ujar Tini malu-malu.

Ditanya apakah yang membuatkannya tertarik dengan jejaka itu, Tini berkata mempunyai minat yang sama menjadikan mereka lebih rapat.

”Kami berdua memang menyukai aktiviti luar. Kalau orang lain pergi dating tengok wayang, kami pula lebih senang bersukan,” ujar Tini menutup perbualan petang itu.

Info

Nama Penuh: Kartini Kamalul Ariffin
Nama Komersial: Tini
Tarikh Lahir: 24 Mac 1978
Kerjaya: Pengacara, penyampai radio
Hobi: Aktiviti luar, gimnasium, melancong dan melukis

Serah kuasa bila parti kukuh

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam menegaskan, peralihan kuasa kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Razak, akan dilakukan apabila parti berada dalam keadaan baik supaya proses itu berjalan lancar.

Tanpa menyatakan tempoh peralihan kuasa itu, Perdana Menteri juga mengesahkan beliau akan mempertahankan jawatan Presiden Umno pada pemilihan Disember depan.
"Sudah tentu saya mahu peralihan itu berjalan licin. Itu penting supaya parti yang nak diserah itu berada dalam keadaan baik. Saya tak mahu tinggal parti dalam keadaan kelam kabut kepada pengganti saya, Datuk Seri Najib... (saya kata) good luck itu masalah anda, bukan saya.

"Itu tentulah bukan caranya," katanya pada sidang media selepas majlis perjumpaan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) bersama Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Perjumpaan tertutup kira-kira sejam itu turut dihadiri Najib, ketua serta pemimpin parti komponen BN

Abdullah berkata, sudah tentu ada proses peralihan kuasa tetapi ia bukan berlaku secara tiba-tiba.

"Takkan kita nak... tiba-tiba mana Pak Lah? Dia dah berhenti dah. Itu bukanlah caranya. Dulu pun ketika Tun Dr Mahathir Mohamad nak serah (jawatan) kepada saya begitu juga... semua elok, susun elok. Itulah yang dimaksudkan peralihan kuasa berjalan dengan baik," katanya.

Mengenai laporan ada pihak meminta peralihan itu dilakukan secepat mungkin, Abdullah yang juga Presiden Umno berkata, pelbagai pandangan diberikan dengan ada yang mahu proses itu disegerakan dan ada juga mengatakan supaya tidak begitu cepat.

"Saya dengar je, akhir-akhirnya saya dengarlah apa yang orang cakap. Saya ada dua telinga, saya bukan pekak. Dalam amalan demokrasi semua orang nak bercakap... apa boleh buat. Kalau kita tutup mulut, dia kata ini tutup mulut, takut, tidak bebas. Mana boleh...nak cakap, cakaplah," katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau melihat pandangan mengenai peralihan kuasa itu disuarakan sesetengah pihak dan bukan peringkat akar umbi.

Abdullah berkata, dalam perjumpaan dengan pemimpin BN sebelum ini tidak ada yang menuntutnya melepaskan segera jawatan dalam parti dan kerajaan.

"Mereka kata ini serah kepada saya, mereka kata dengan jelas akan memberi sokongan kepada saya. Dalam pertandingan pada pemilihan parti nanti akan beri sokongan kepada saya dan Najib, (masing-masing) sebagai Presiden dan Timbalan Presiden. Selepas itu Pak Lah dan Najib akan fikir hal berkaitan peralihan kuasa," katanya.

Mengenai kenyataan Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bahawa parti akan hanyut sekiranya perubahan pucuk pimpinan tidak dilakukan segera, Abdullah berkata sesiapa pun boleh bercakap apa yang mereka suka.

Bagaimanapun, katanya, beliaulah yang akan membuat keputusan selepas berbincang dengan Najib.

Menjawab soalan sama ada beliau akan mempertahankan jawatan Presiden pada pemilihan parti Disember ini, Abdullah berkata: "Mengapa saya tak boleh bertanding? Mengapa saya tak harus bertanding?"

Ditanya adakah ini bermakna beliau akan menyerahkan kepimpinan tahun depan atau pada 2010, Perdana Menteri berkata: "Maaf, saya tidak boleh mendedahkannya kepada anda."

Mengenai Umno bahagian yang mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM), antaranya bagi membincangkan kuota pencalonan bagi pemilihan Disember ini, beliau berkata: "Kalau nak buat mesyuarat, buatlah ikut peraturan."

Mengulas hasil pertemuannya dengan Ahli Parlimen dan Adun BN, Abdullah berkata beliau mendapat sokongan kuat daripada semua wakil rakyat BN dan menerima tepukan gemuruh sambil berdiri daripada mereka pada majlis berkenaan.

Mengenai usul undi tidak percaya yang dikatakan akan dibuat terhadapnya pada sidang Parlimen nanti, Abdullah berkata: "Itu dakwaan pembangkang. Saya yakin bahawa semua Ahli Dewan Rakyat BN patuh dan setia kepada BN."

Berhubung tiga jawatan Timbalan Menteri yang masih kosong, Perdana Menteri berkata beliau akan mempersembahkan senarai nama untuk mengisi kekosongan itu kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, minggu ini.

Tiga jawatan Timbalan Menteri itu ialah di Kementerian Luar, Kementerian Pengangkutan serta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.