Monday, April 14, 2008

Mawi akui Ikin tidak cemburu buta, keluarga akur pilihan hatinya

SEKIAN lama berteka-teki mengenai kisah cinta, Raja SMS, Mawi, akhirnya membuat pengakuan terbuka kepada media dengan mengumumkan pelakon drama dan model, Nora'asikin Rahmat atau Ikin, 29, adalah teman istimewanya. Pengumuman itu dibuat hanya beberapa jam sebelum malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007 di Genting Highlands, 30 Mac lalu.

Dalam pertemuan bersama Mawi baru-baru ini, dia turut membuat pengakuan, mula mengenali Ikin secara rapat kira-kira setahun lalu, tapi kenapa baru-baru ini saja dia bersedia membuat pengakuan dan mengapa Ikin menjadi pilihan hatinya?

“Bagi saya, sesuatu yang belum pasti tidak perlulah digembar-gemburkan sedari awal, maka saya lebih gemar berdiam diri. Sebelum ini, saya mengenali Ikin sama seperti rakan artis lain, tiada apa-apa perasaan terhadapnya. Namun, siapa sangka, selepas beberapa lama menjalin persahabatan, barulah timbul perasaan sayang kepadanya.



“Namun, saya tidak terburu-buru membuat pengumuman kerana tiada apa yang pasti ketika itu. Sehinggalah tiba ABPBH 2007 30 Mac lalu, saya dan Ikin kebetulan berada pada majlis sama, barulah saya terdetik membuat pengakuan kerana bagi saya, inilah masa sesuai, tambahan pula pihak media seperti sudah menghidu sesuatu.

“Pun begitu, terus-terang saya katakan, sebelum membuat pengakuan itu, saya tidak menerima sebarang tekanan daripada mana-mana pihak, sebaliknya ia lahir dari hati yang tulus ikhlas. Saya sudah bersedia. Bagi saya, Ikin ada keistimewaan, orangnya kelakar, selamba, memahami kerjaya saya dan yang penting dia tidak cemburu buta,” terang Mawi.

Tiba-tiba soalan ini terus mencelah - sejauh mana kesahihannya, Ikin adalah punca Mawi putus tunang dengan Nor Diana Mohd Naim suatu ketika dulu?

Sejurus mendengar pertanyaan itu, nada suara Mawi berubah menjadi serius.

Usah ungkit kisah lama

“JANGANLAH diungkit kisah lama. Ikin tidak ada kena mengena dalam soal itu (putus tunang). Tidak perlulah dibongkar cerita silam kerana semuanya sudah selesai. Lagipun dia (Diana) sudah berkahwin dan tidak lama lagi akan menimang cahaya mata, tolonglah hormati perasaannya, suami, hati saya, Ikin dan keluarga masing-masing,” pinta Mawi berkali-kali.

Adakah pilihan Mawi, Ikin mendapat restu daripada keluarga, lebih-lebih lagi daripada ibunya?

“Mungkin ramai yang belum tahu, ibu saya tidak tahu menahu dalam soal ini. Perkara ini membabitkan hati dan perasaan saya, bukan orang lain. Bagi saya, apabila saya senang dan selesa bersama Ikin, keluarga dan ibu hanya menuruti saja pilihan saya. Mereka tiada masalah kerana saya yang bertanggung jawab. Yang penting, restu.

“Saya harap, selepas pengakuan ini, janganlah kehidupan ibu saya di kampung diganggu dengan 1,001 pertanyaan. Tidak perlu berpusu-pusu bertanya kepadanya, lagipun dia tidak sihat. Jika ada sebarang pertanyaan berhubung saya dan Ikin, terus datang bertemu saya. Tapi, rasanya saya sudah terangkan segala-galanya,” ujar Mawi.

Dijangka nikah Disember 2008

MENGENAI desas-desus tarikh perkahwinan Mawi-Ikin apabila mereka dikatakan akan bernikah November atau Disember ini?

“Berkali-kali sudah saya jelaskan, memang ada perancangan ke arah itu (perkahwinan), tapi belum ada sebarang tarikh sesuai. Cepat atau lambat jodoh saya bersama Ikin adalah ketentuan Tuhan. Sekiranya November atau Disember ini menjadi detik bersejarah kami, Alhamdulillah, tapi jika sebaliknya, saya hanya berserah kepada qada dan qadar Allah,” jelas Mawi tenang saja.

Mengulas mengenai jumlah undian Mawi sebagai Bintang Paling Popular, ABPBH 2007 yang terus merosot sebagai petanda popularitinya semakin pudar gara-gara pelbagai kontroversi yang pernah tercetus sebelum ini, ditambah cerita cintanya, apa pula komen Mawi?

“Terpulanglah kepada penerimaan peminat, yang penting hasil kerja dan produk yang dihasilkan, bukannya semata-mata dinilai kepada kisah peribadi. Tidak dinafikan, jika terpalit sebarang cerita negatif, peminat mudah terpengaruh. Justeru, selagi boleh, saya tidak mahu lagi dikaitkan dengan isu sensasi dan kontroversi di masa depan.

“Ditakdirkan populariti terus merudum sekiranya saya berkahwin suatu hari nanti, saya berserah kepada rezeki. Lagipun, perkara (perkahwinan) itu belum menjadi kenyataan, saya tidak mampu meramal masa depan. Tapi, harapan saya, karier hari ini akan terus diterima peminat walau apapun status diri, Insya-Allah,” kata Mawi.

No comments: