Monday, April 14, 2008

Tini merancakkan Prelude Kemuncak AIM15

SEBELUM ini wajah comelnya sering menghiasi kaca televisyen menerusi program berkonsepkan majalah, 3R. Tidak berseorangan sebaliknya si pemilik nama penuh Kartini Kamalul Ariffin ini ditemani dua sahabat setianya, Rafidah dan Selina.

Bersama 3R, Kartini atau lebih mesra di sapa Tini lebih banyak membicarakan hal berkaitan golongan remaja khususnya wanita. Semuanya bercorak ilmu pengetahuan yang boleh dikongsi bersama dengan penonton.

Namun untuk tugasannya yang terbaru, Tini diberi mandat untuk mengacarakan program bercorak hiburan iaitu Prelude Kemuncak AIM15 yang disiarkan secara langsung setiap Khamis, jam 8.30 malam menerusi saluran ntv7.

Ini bermakna, Tini perlu mengendalikan sebuah rancangan bercorak hiburan dan menemubual secara langsung artis yang diundang membuat persembahan di pusat hiburan terbabit berbeza dengan apa yang dilakukannya sebelum ini.

“Tugasan ini memang mencabar buat Tini kerana boleh dikatakan ini adalah pengalaman baru Tini mengendalikan sebuah program hiburan secara total. Biarpun sebelum ini Tini pernah mengacarakan program bercorak hiburan namun konsepnya agak berbeza.

“Untuk Prelude Kemuncak AIM15, Tini perlu bersedia dari banyak segi. Umpamanya Tini perlu memastikan fokus Tini hanya pada kamera dan tidak menghiraukan gangguan lain.

“Pernah seketika apabila Tini sedang mengacarakan program ini, tiba-tiba ada sekumpulan lelaki memasuki pusat hiburan terbabit. Secara automatik, Tini berpaling ke arah mereka. Jadi benda-benda di luar kawalan seperti ini yang perlu Tini jaga supaya tidak menjejaskan tumpuan,” ujar pemegang ijazah Sarjana Kewartawanan Penyiaran Goldsmiths University of London ini.


Tambahnya lagi, memandangkan program ini disiarkan secara langsung jadi dia perlu menjalani ‘dry run’ terlebih dulu bagi memastikan tidak berlaku kesilapan sepanjang bersiaran dan mampu ditamatkan tepat pada waktunya.

“Selain bertanyakan banyak soalan sewaktu dry run, saya juga perlu berfikir pantas dan sentiasa bersedia kerana kita tidak tahu apa yang terjadi seterusnya.

Berkongsi pengalaman selepas hampir tujuh minggu mengendalikan program ini secara langsung, Tini berkata selain diberi pendedahan mengenai teknik di sebalik tabir, Tini juga gembira kerana tugasan itulah yang memberikannya peluang menemubual idola kesayangannya.

“Masa mula-mula terima tawaran ini, apa yang bermain di fikiran adalah untuk mendapatkan seberapa banyak pendedahan selain menimba ilmu dalam bidang ini. Namun, semakin lama saya rasa semakin seronok apatah lagi saya berpeluang menemuramah artis yang saya minati seperti kumpulan Lefthanded,” cerita penyampai radio Hot FM ini dalam nada teruja.

Sungguhpun mempunyai minat yang mendalam namun Tini realistik apabila membicarakan soal masa depan. Percaya bahawa bidang penyiaran yang diceburinya ada pasang dan surutnya, Tini melahirkan hasrat untuk menceburi pendidikan sekiranya khidmatnya nanti tidak diperlukan lagi.

“Apabila saya mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran dua tahun lalu, inilah sebenarnya impian saya iaitu untuk bergelar pensyarah. Lagipun, umur saya semakin hari semakin meningkat. Takkan selamanya saya dalam bidang ini.

“Tunggulah nanti, saya sedang berusaha ke arah itu secara perlahan-lahan. Bagaimanapun, ia bukanlah dalam masa terdekat kerana masih banyak lagi yang perlu saya pelajari,” jelas Tini yang bercita-cita untuk menjadi wartawan politik ini.

Hatinya sudah dimiliki

DALAM diam sudah lebih setahun Tini menjalinkan hubungan dengan seseorang yang turut bergiat dalam industri yang sama. Sambil mengakui hubungan mereka mendapat restu orang tua, Tini berkata hubungan jarak jauh yang dilaluinya sepanjang dia menuntut ilmu di London menguji kesetiaan mereka berdua.

“Alhamdulillah, hubungan kami berjalan dengan lancar. Walaupun kami berjauhan namun Tini lihat dia begitu setia menunggu Tini. Malah, kami juga kerap berhubungan menerusi telefon dan juga internet. Kami ada keserasian. Kalau ada jodoh, dialah orang yang akan Tini pilih sebagai calon suami,” ujar Tini malu-malu.

Ditanya apakah yang membuatkannya tertarik dengan jejaka itu, Tini berkata mempunyai minat yang sama menjadikan mereka lebih rapat.

”Kami berdua memang menyukai aktiviti luar. Kalau orang lain pergi dating tengok wayang, kami pula lebih senang bersukan,” ujar Tini menutup perbualan petang itu.

Info

Nama Penuh: Kartini Kamalul Ariffin
Nama Komersial: Tini
Tarikh Lahir: 24 Mac 1978
Kerjaya: Pengacara, penyampai radio
Hobi: Aktiviti luar, gimnasium, melancong dan melukis

No comments: