Tuesday, April 15, 2008

Mawi Kurang Menyerlah!



KALAU diukur dari segi populariti, tidak dinafikan penyanyi kelahiran selatan tanah air, Asmawi Ani atau Mawi masih lagi hebat dan belum mampu digugat sesiapa. Jika tidak, masakan kategori Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian kekal di dalam genggamannya untuk tiga kali berturut-turut.

Namun apakah cukup sekadar populariti yang dapat dipertahankan sedangkan tahap kredibiliti sebagai seorang artis masih lagi jauh ketinggalan. Persoalan ini timbul apabila menyaksikan persembahan Mawi sewaktu Bintang Paling Popular itu mengadakan persembahan sempena Minggu Setiausaha anjuran PNB Darby Park, yang berlangsung di Dewan Perdana Felda, baru-baru ini.

Entah mengapa sepanjang sejam menonton penyanyi ini beraksi di atas pentas, bagaikan ada sesuatu yang tak kena dengan persembahan Mawi. Apa yang boleh dikatakan, persembahan jejaka dari Felda Taib Andak, Kulai ini tidak menggambarkan kualiti sebuah persembahan Minggu Setiausaha dalam erti kata yang sebenarnya.

Jika suatu ketika dulu, persembahan seperti ini amat ditunggu-tunggu kerana hanya artis yang terbaik saja yang akan ditampilkan, tapi sejak kebelakangan ini, sesiapa saja boleh mengendalikan minggu setiausaha.

Berbalik kepada kisah Mawi tadi, bukanlah bermakna persembahan yang ditampilkan lelaki ini tidak menghiburkan cuma apa yang ditonjolkannya adalah di tahap ‘biasa-biasa’ saja.

Ini berbeza dengan apa yang ditampilkan oleh pasangannya iaitu pelakon dan pengacara terkenal, AC Mizal yang boleh dikatakan jauh lebih baik daripada Mawi. Mungkin ada yang mengatakan pengalaman membezakan mereka berdua namun kalau kita bersedia dan merancang dengan teliti apa yang hendak dilakukan, tidak mustahil ia mampu menghasilkan sebuah pertunjukan yang hebat.


MEMUKAU: Aksi hebat AC Mizal ketika menghiburkan tetamu.

Secara jujur, AC dilihat lebih mampu menghidupkan suasana apabila tampil dengan idea menarik seperti membawa kumpulan brass band dari Victoria Institution untuk mengiringinya menyampaikan lagu I Feel Good untuk acara pembukaan. Nampak begitu meriah dan kebanyakan tetamu yang hadir terhibur dengan gaya persembahan ala festival itu.

Begitu juga apabila tiba bab berkomunikasi, ada ketika Mawi nampak begitu teragak-agak sehingga memaksanya mengulang cerita yang sama iaitu kisah albumnya yang menjadi mangsa cetak rompak, yang pernah diceritakan dalam persembahannya sebelum ini.

Begitu juga dengan pemilihan lagu, AC ternyata lebih bijak dan kreatif apabila menyelitkan lagu dari pelbagai jenis bahasa sedangkan Mawi hanya menyanyikan lagu Melayu walaupun ada peminat di bawah pentas menjerit-jerit memintanya menyanyikan lagu Inggeris.

Mengulas perkara ini pada sidang media kemudiannya, Mawi berkata dia mempunyai alasan tersendiri untuk tidak menyanyikan lagu dalam bahasa Inggeris.

“Persembahan ini boleh dikatakan sebagai peluang saya mempromosikan lagu dari album terdahulu. Lagipun yang mendengarnya adalah orang Melayu, jadi semangat kemelayuan pun kuat.

“AC pun ada nyanyikan lagu Inggeris sebelum saya muncul. Jadi itu sudah menjadi satu kombinasi yang seimbang. Tadi pun saya ada nyanyi dua baris lagu Inggeris, kira okeylah tu...,” balas Mawi berseloroh.

Seperkara yang agak menghairankan mengenai persembahan Mawi adalah kali ini dia tidak menampilkan acara silap mata seperti yang sering dilakukannya sebelum ini.

“Mengenai perkara itu, memang saya terkilan kerana tak berkesempatan nak buat. Bukannya apa, masalah masa membuatkan banyak perancangan saya tergendala. Bukan itu saja, malah perancangan awal saya untuk berduet dengan AC juga tidak terlaksana kerana kesibukan,” ujar Mawi.

Perkara itu turut dipersetujui AC yang turut terkilan kerana tidak dapat membuat persembahan bersama si pelantun Aduh Saliha itu.

“Mengikut perancangan awal, saya dan Mawi akan membuat persembahan gabungan silap mata dan komedi. Tapi semuanya tak jadi kerana faktor masa,” tambah pengacara AF6 ini.

Bagaimanapun, seperkara yang tidak dapat dinafikan mengenai buah hati pengarang jantung pelakon Ikin ini adalah aura yang dimilikinya masih tetap utuh. Pantang turun ke pentas, ada saja peminat yang ingin merakamkan gambar bersamanya.

Malah, nyanyiannya sewaktu mendendangkan lagu Kian beberapa kali terganggu kerana begitu asyik melayan kerenah peminat yang begitu teruja apabila berpeluang bertentang mata dengannya.

No comments: