Monday, April 14, 2008

Serah kuasa bila parti kukuh

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam menegaskan, peralihan kuasa kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Razak, akan dilakukan apabila parti berada dalam keadaan baik supaya proses itu berjalan lancar.

Tanpa menyatakan tempoh peralihan kuasa itu, Perdana Menteri juga mengesahkan beliau akan mempertahankan jawatan Presiden Umno pada pemilihan Disember depan.
"Sudah tentu saya mahu peralihan itu berjalan licin. Itu penting supaya parti yang nak diserah itu berada dalam keadaan baik. Saya tak mahu tinggal parti dalam keadaan kelam kabut kepada pengganti saya, Datuk Seri Najib... (saya kata) good luck itu masalah anda, bukan saya.

"Itu tentulah bukan caranya," katanya pada sidang media selepas majlis perjumpaan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) bersama Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Perjumpaan tertutup kira-kira sejam itu turut dihadiri Najib, ketua serta pemimpin parti komponen BN

Abdullah berkata, sudah tentu ada proses peralihan kuasa tetapi ia bukan berlaku secara tiba-tiba.

"Takkan kita nak... tiba-tiba mana Pak Lah? Dia dah berhenti dah. Itu bukanlah caranya. Dulu pun ketika Tun Dr Mahathir Mohamad nak serah (jawatan) kepada saya begitu juga... semua elok, susun elok. Itulah yang dimaksudkan peralihan kuasa berjalan dengan baik," katanya.

Mengenai laporan ada pihak meminta peralihan itu dilakukan secepat mungkin, Abdullah yang juga Presiden Umno berkata, pelbagai pandangan diberikan dengan ada yang mahu proses itu disegerakan dan ada juga mengatakan supaya tidak begitu cepat.

"Saya dengar je, akhir-akhirnya saya dengarlah apa yang orang cakap. Saya ada dua telinga, saya bukan pekak. Dalam amalan demokrasi semua orang nak bercakap... apa boleh buat. Kalau kita tutup mulut, dia kata ini tutup mulut, takut, tidak bebas. Mana boleh...nak cakap, cakaplah," katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau melihat pandangan mengenai peralihan kuasa itu disuarakan sesetengah pihak dan bukan peringkat akar umbi.

Abdullah berkata, dalam perjumpaan dengan pemimpin BN sebelum ini tidak ada yang menuntutnya melepaskan segera jawatan dalam parti dan kerajaan.

"Mereka kata ini serah kepada saya, mereka kata dengan jelas akan memberi sokongan kepada saya. Dalam pertandingan pada pemilihan parti nanti akan beri sokongan kepada saya dan Najib, (masing-masing) sebagai Presiden dan Timbalan Presiden. Selepas itu Pak Lah dan Najib akan fikir hal berkaitan peralihan kuasa," katanya.

Mengenai kenyataan Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bahawa parti akan hanyut sekiranya perubahan pucuk pimpinan tidak dilakukan segera, Abdullah berkata sesiapa pun boleh bercakap apa yang mereka suka.

Bagaimanapun, katanya, beliaulah yang akan membuat keputusan selepas berbincang dengan Najib.

Menjawab soalan sama ada beliau akan mempertahankan jawatan Presiden pada pemilihan parti Disember ini, Abdullah berkata: "Mengapa saya tak boleh bertanding? Mengapa saya tak harus bertanding?"

Ditanya adakah ini bermakna beliau akan menyerahkan kepimpinan tahun depan atau pada 2010, Perdana Menteri berkata: "Maaf, saya tidak boleh mendedahkannya kepada anda."

Mengenai Umno bahagian yang mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM), antaranya bagi membincangkan kuota pencalonan bagi pemilihan Disember ini, beliau berkata: "Kalau nak buat mesyuarat, buatlah ikut peraturan."

Mengulas hasil pertemuannya dengan Ahli Parlimen dan Adun BN, Abdullah berkata beliau mendapat sokongan kuat daripada semua wakil rakyat BN dan menerima tepukan gemuruh sambil berdiri daripada mereka pada majlis berkenaan.

Mengenai usul undi tidak percaya yang dikatakan akan dibuat terhadapnya pada sidang Parlimen nanti, Abdullah berkata: "Itu dakwaan pembangkang. Saya yakin bahawa semua Ahli Dewan Rakyat BN patuh dan setia kepada BN."

Berhubung tiga jawatan Timbalan Menteri yang masih kosong, Perdana Menteri berkata beliau akan mempersembahkan senarai nama untuk mengisi kekosongan itu kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, minggu ini.

Tiga jawatan Timbalan Menteri itu ialah di Kementerian Luar, Kementerian Pengangkutan serta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

No comments: